“Ya Allah, aku nak jumpa Syamsul Yusof”, Akhirnya Allah Makbulkan Hajat Lelaki Ini

Kisah ini dikongsikan oleh saudara Surya Sufie dilaman Fb Beliau. Beliau Berdoa untuk bertemu dengan Syamsul Yusof dan Allah makbulkan hajatnya. Ikuti kisah di bawah.

Jumpa Syamsul Yusof..

Secara tak langsung, tiba-tiba terlintas di hati saya memang niat untuk berjumpa Syamsul Yusof. Itu saja awal permulaannya, tidak ada apa-apa perkara luar biasa saya lakukan, saya cuma memasang niat saja. Tidak pun saya pergi cari dia, pergi rumah dia, studio dan sebagainya.

Tidak, saya cuma beritahu Tuhan di dalam lintasan hati saya,

“Ya Allah, aku nak jumpa Syamsul Yusof.”

Lalu apa yang saya buat pada hari itu adalah, saya mula bangun awal untuk solat sunat Tahajud setengah jam sebelum solat Subuh. 2 rakaat saja solat sunat Tahajud, dan tambah witir. Saya berzikir seperti biasa, ‘Astafirullah,’ ,

‘Subhanallah wabihamdihi subhanallahil azim’, ‘Allahumma salli ala sayidina Muhammad.’ , semuanya setiap lafaz zikir dan selawat itu 100 kali, jadi jumlah semuanya 300 kali.

Setelah itu azan Subuh berkumandang, lalu saya pun pergi solat di surau yang berdekatan dengan rumah. Sampai saja di surau, sudah mula iqamat. Saya pun bergegas, bersihkan kaki dan terus masuk untuk turut serta mengangkat takbir, “Allahu Akbar.”

Tapi sebelum saya mengangkat takbir, saya macam perasaan di sebelah kiri saya di bahagian depan saf kedua, ada seorang memakai jubah biru gelap, tinggi lampai dan rambutnya pacak, tapi saya tidak hiraukan perasaan itu dan saya terus
mengangkat takbir.

“Assalamualaikum warohmatullah.” Selepas saja solat, berzikir sekejap bersama Imam, dan tiba-tiba saya melihat belah kiri saya tadi, subhanallah. Saya lihat Syamsul Yusof sedang khusyuk berdoa, saya betul-betul terkejut dan terkesima,tidak sampai beberapa hari, Tuhan sudah memakbulkan hasrat saya untuk berjumpa Syamsul Yusof.

Tapi, selepas berdoa itu, Syamsul Yusof terus pergi. Di dalam hati begitu eksited, ada juga sedikit rasa kecewa, inilah manusia tak tahu erti nak bersyukur.

“Aduh, kalau dapat salam tadi kan best.”

Jadi, setelah saya pulang rumah, saya begitu seronoknya cerita dengan isteri yang saya dah berjumpa dengan Syamsul Yusof. Isteri saya balas,

“Sempat tak abang bercakap dengan dia?”

Hmm. Saya pun berfikir dua kali, saya pasang nekad lagi untuk bangun awal esok solat sunat Tahajud. Dan, syukur kepada Tuhan, Tuhan memudahkan lagi saya untuk bangun solat sunat Tahajud, dan di dalam doa kali ini adalah sedikit berbeza, dan betul-betul menguji keyakinan saya sendiri.

“Ya Allah, terima kasih kerana pertemukan saya dengan Syamsul Yusof. Tapi ya Allah saya mahu lebih lagi, kali ini ya Allah buatkan bukan saya yang tegur dia, tapi dia Syamsul Yusof sendiri yang menyapa dan bercakap dengan saya.”

Haha. Bukan main berani saya.

Jadi bila azan Subuh berkumandang, saya terus pergi ke surau, dan setiba saja di surau. Saya terus tengok kiri dan kanan, dan ternyata hebatnya Tuhan, Syamsul Yusof ada di saf kedua sedang bersedia untuk mengangkat takbir.

Dan, masih menggunakan jubah biru pekatnya, sahabat pembaca boleh tengok Insta beliau, yang beliau memang suka memakai jubah biru tersebut.

Selepas saja habis solat, saya lihat Syamsul Yusof sedang khusyuk berdoa, cuma kali ini yang berbezanya, dia sempat melihat saya dan senyum. Dan, terus pergi seperti biasa. Saya ingat nak kejar dia dan salam tapi doa saya pada Tuhan tadi adalah, biar dia sendiri menegur saya.

Jadi saya percaya dengan doa saya bahawa Tuhan akan makbulkan. Jadi saya pertahankan pendirian saya. Syamsul
Yusof pun pergi, hilang dari pandangan mata. Setelah habis mengaminkan doa, saling salam sesama jemaah,

“Tak apalah, dah jumpa dua kali pun dah ok.” Ada sedikit perasaan kecewa bila saya keluar daripada pintu surau. Kadang kita menyangka, “tak apalah, ini pun dah ok.” Bagi saya kenyataan ini tidak patut sebut, bagi orang yang ada impian
besar.

Ada seorang pakar motivasi pernah beritahu pada saya,

“Surya, Tuhan itu Maha Kaya, jangan takut untuk meminta lebih dan lebih, Dia itu Kaya.”

Saya jawab balik, “Itu bukan tamak ke?”

Dia balas saya balik, “Daripada kau asyik minta dengan manusia?”

Ok. Saya faham. Baru saya faham kenapa Tuhan begitu merai-raikan doa orang yang percaya dan yakin terhadapNya. Ini kerana hambaNya tahu bahawa tidak ada yang berkuasa melainkan Dia.

Dan, sahabat FB dengan tiba-tiba, ketika saya baru turun dari surau, ada tangga surau, ada orang menyapa saya dari belakang dengan ucapan salam,

“Assalamualaikum.” Dengan nada suara yang serak-serak basah.

Saya pusing kepala lihat belakang, “Wassalam w.b.t, Allah.” Menggigil dan terkejut saya, Syamsul Yusof menegur saya. Saya terus terpaku. Speechless.

“Apa khabar? Macam tak biasa nampak tuan disini. Baru pindah ke?”

“Ahha baru saja.”

“Oh begitu, kerja di mana?” dia tanya lagi.

“Saya mengajar saja.” Masih ada bergetar sikit. Saya bukan menggigil dan bergetar kerana Syamsul Yusof tetapi saya bergetar hati kerana Tuhan betul-betul mendengar doa saya. Saya betul terkesima dengan kejadian tersebut.

Tadi, tidak nampak pun dia di belakang saya, tiba-tiba muncul
begitu saja. Bayangkan tuan-puan, sahabat pembaca, kami berjalan dan bercakap seperti kawan biasa, bertanya kerja bagaimana, memang hebat pengalaman tersebut.

“Sambil mengajar, saya ada buat kelas mengaji sikit.” Saya sambung.

“Oh ya, bagusnya, saya pun sebenarnya sedang tengah nak belajar Quran, saya banyak hafal ayat Quran untuk lakonan saja, ah mana tahu, ada rezeki kita boleh berjumpa, Ustaz boleh ajar saya. Ada nombor Ustaz?”

Allah. Ini lagi luar biasa, dia pula yang minta nombor saya. Ya manalah tahu, nanti nak ajak saya berlakon Munafik 3. Haha.

Sampai saja saya naik kereta nak balik rumah, pegang stereng kereta dan tanpa sedar, air mata saya mengalir, kerana rasa takjub dengan kebesaran Tuhan.

“Terima kasih ya Allah.”

Sumber : Surya Sufie

About simbloe178 16 Articles
Stories of Life | Kumpulan Kisah Kehidupan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*